SEMALAM, tanggal 11 Mei, genap 62 tahun Umno ditubuhkan sekali gus membuktikan parti yang berjuang membela nasib orang Melayu itu adalah satu-satunya parti politik yang bertanggungjawab dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara serta membantu semua kaum di bumi Malaysia.
Umno yang muncul parti terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi terbanyak dan pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar, antara parti politik tertua di negara membangun dan masih kuat kedudukannya selepas mengharungi pelbagai cabaran dan peristiwa.
Mengimbau sejarah penubuhannya, Umno tertubuh hasil percantuman pertubuhan Melayu dengan pelbagai aliran falsafah dan latar belakang, tetapi semua mereka akhirnya mencapai kata sepakat dan bersetuju mengambil tindakan bersama untuk membangunkan kehidupan bangsa Melayu.
Bermula dengan cabaran pertama rancangan penubuhan Malayan Union yang dibawa British selepas Perang Dunia Kedua, pertubuhan di Tanah Melayu ketika itu dengan sukarela membubarkan diri masing-masing demi membuka jalan kepada penubuhan sebuah parti politik ulung sebagai penyampai hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak mereka.
Melalui rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum perang akan dirombak sekali gus orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa bersaing dengan penduduk pendatang, iaitu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka kerana sepanjang penjajahan British, mereka diberi perlindungan daripada ancaman golongan berkenaan di samping jaminan ini negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja Melayu.
Orang Melayu ketika itu terkejut apabila rancangan penubuhan Malayan Union tanpa rundingan dengan penduduk asal negara ini.
Sebelum itu, orang Melayu berpecah dengan pelbagai sentimen kenegerian dan pandangan yang sempit, tetapi dengan gagasan penubuhan Malayan Union, mereka mula melihat realiti di depan mereka.
Orang Melayu bersatu dan bangun menentang rancangan itu sekali gus menunjukkan reaksi spontan apabila mereka bersatu hati dan tenaga untuk memperjuangkan kedudukan mereka terpelihara.
Umno yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946, dengan Datuk Onn Jaafar sebagai pemimpin pertamanya, berjuang untuk mengelakkan orang Melayu di Tanah Melayu tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan lain yang lebih maju.
Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai faktor penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik meluas serta kewujudan kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.
Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak sekian lama adalah penduduk asal Tanah Melayu.
Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.
Tetapi nasionalisme ini bukan suatu yang sempit kerana sudah diperluaskan untuk merangkumi kaum lain demi perpaduan dan kestabilan negara.
Pada peringkat awal pergerakan ke arah kemerdekaan, disedari tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum lain yang juga berhak untuk menyertai arena politik negara.
Pelbagai usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan Umno-MCA pada awal 1952 apabila kedua-dua parti bertanding pada pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur.
Kemenangan diperoleh kedua-dua parti seterusnya membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.
Pada 1955 ketika menghadapi pilihan raya umum pertama, Perikatan Umno-MCA-MIC diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama rapat antara kaum di bawah kepemimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga memperoleh kemenangan cemerlang.
Kemenangan besar itu membuktikan kepada penjajah bahawa pelbagai kaum yang tinggal di Tanah Melayu bersatu hati dan mereka boleh mencapai kemerdekaan.
Berikutan itu, satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali Kongres Melayu Se-Malaya pertama diatur Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 dengan 41 pertubuhan Melayu menghantar wakil masing-masing.
Dato’ Onn daripada Persatuan Melayu Johor dipilih sebagai Pengerusi Kongres.
Tiga usul diluluskan kongres, iaitu menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, membantah penubuhan Malayan Union dan mengadakan derma pelajaran kebangsaan Melayu.
Satu jawatankuasa dianggotai Dato’ Onn, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad (Za’aba) dipilih untuk menyediakan draf piagam atau perlembagaan Umno untuk dibentangkan dan diterima Kongres Melayu Se-Malaya.
Dalam pada itu, bangkangan yang hebat daripada kaum Melayu tidak diendahkan kerajaan British apabila mereka tetap meneruskan rancangan menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946.
Berikutan itu, pada 11 Mei 1946 bertempat di Istana Besar Johor Bahru, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pekembar (Umno) berlangsung dan piagam atau perlembagaan (Umno) diterima serta diluluskan peserta.
Dengan itu, secara rasmi tertubuhlah Umno.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun Umno ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam berkata, kelahiran Umno membawa tuah kepada bangsa dan negara ini.
Sambil bersyukur kerana Umno masih mendapat tempat di hati rakyat, Abdullah berharap ahli parti dan rakyat perlu mengenang sejarah dan budi pejuang bangsa kerana tanpa mereka rakyat tidak akan menikmati kemakmuran dan segala rahmat pada masa ini.
Beliau berkata, pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi Umno tetapi parti itu tetap utuh sehingga hari ini walaupun apa juga rintangan dihadapi, semangat ahli Umno yang meletakkan parti itu di hati menyebabkan tiada sesiapa dapat menggugatnya.