Friday, August 22, 2008

Sumpah Permatang



Menurut Dato’ Dr. Haron Din, “sepatutnya yang bersumpah adalah pihak yang kena tuduh”. Maka sepatutnya, Anwarlah yang kena



Demam pilihanraya kecil Permatang Pauh semakin panas dirasakan apabila hari pengundian pada 26 Ogos 2008 semakin hampir. Ramai yang mempersoalkan apakah kewajarannya diadakan pilihanraya ini, dan apakah perlunya Wan Azizah melepaskan jawatan ahli parlimen yang dimenanginya secara sah kerana beliau tidak muflis, beliau tidak disahkan sakit gila oleh mana-mana doktor di dunia ini dan beliau tidak disabitkan dengan jenayah yang menyebabkannya hilang hak wakil rakyatnya.
Malah apa yang dilakukan oleh Wan Azizah itu adalah jelas merupakan satu perbuatan rasuah yang sudah tentunya boleh didakwa oleh BPR kerana “ia telah melakukan apa yang tidak sepatutnya dilakukan”. Tambahan pula tindakannya itu “adalah jelas untuk kepentingan suaminya”. Ramai pihak yang sedang menunggu untuk melihat tindakan BPR terhadap Wan Azizah. Sudah tentulah rasanya ini boleh dimanipulasi pula nanti oleh Anwar kononnya ini adalah konspirasi terbaru untuk “menempatkan mereka berdua suami isteri dalam sel penjara yang sama”! Salah tetap salah dan pelanggaran undang-undang tetap pelanggaran undang-undang. Sesuatu yang pasti ialah ini telah menjadi bahan ketawa ejekan penyokongnya sendiri kerana Anwar yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menentang Rasuah pada tahun 1988, dipecat dari kerajaan kerana rasuah dan sekarang hendak memerdekakan negara dari rasuah tetapi hendak bertanding pun secara rasuah!
Walaupun kadangkala boleh terlepas daripada dihukum tetapi apa yang dilakukan oleh Wan Azizah itu adalah sesuatu yang amat tidak bermoral. Secara tidak langsung ini telah berjaya menghakis sokongan belas dan kasihan terhadap “tangisan” beliau selama ini yang kini kian menelanjangkan “konspirasi” pakatan suami-isteri ini. Namun mungkin ramai juga yang semakin simpati dengan Wan Azizah dan mendoakan supaya beliau juga turut mengundi calon Barisan Nasional bagi menggantikan tempatnya, dan bukan suaminya Anwar. Simpati kerana pelepasan jawatannya bukanlah kerana perjuangan keadilan sebagaimana yang diwar-warkan oleh Anwar, tetapi adalah atas desakan Anwar yang sedang kesuntukan masa! Sebagaimana kata Ezam, “Wan Azizah tahu apa yang dilakukan oleh Anwar”. Adakah Anwar telah berlaku adil terhadap isterinya itu? Terhadap pengundi Permatang Pauh?
Desakan terhadap Wan Azizah itu mengukuhkan hipotesis bahawa Anwar terlalu ghairah memutar-belit dan menipu ke sana ke mari untuk menjadi Perdana Menteri bagi menjelaskan “hutangnya kepada Along”! Apakah yang telah dipinjamkan oleh Along ini hinggakan Anwar sanggup menjanjikan kepada bukan Melayu dengan katanya “MALAYSIA INI CINA PUNYA, MALAYSIA INI INDIA PUNYA. ANGGAP MALAYSIA INI BUKAN MELAYU PUNYA!”. Insyaallah kita akan dedahkan siapakah sebenarnya “Along” dibelakang Anwar dan apakah yang “digadaikan “ oleh Anwar kepada along ini dalam artikel yang akan datang sekiranya diperlukan.
Sukacita dimaklumkan bahawa pertarungan pilihanraya kecil ini bukanlah pertarungan antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, atau antara PKR dengan UMNO, tetapi adalah pertarungan antara Anwar melawan Anwar, iaitu Anwar melawan dirinya sendiri. Anwar sedang bergelut untuk melepaskan dirinya daripada perangkap yang dipasangnya sendiri. Semua janji-janji manifesto dan apa yang hendak dilakukannya apabila beliau menjadi Perdana Menteri sebenarnya tidak ada apa-apa yang baru. Semua yang dijanjikannya itu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri, apatah lagi oleh Pak Lah sekarang ini.
Jikalah benar seperti katanya sudah ada Pak Arab yang bersedia untuk melabur RM5 bilion “kerana Anwar”, kenapakah sekarang ini tidak dilaburkan wang tersebut? Kenapakah tidak diberikan semasa Wan Azizah sebagai ahli Parlimen? Kenapakah tidak dibagi kepada 5 negeri Pakatan Rakyat? Ini membuktikan bahawa sebenarnya tidak ada wang RM5 bilion tersebut ! Ianya hanyalah merupakan satu lagi warna mengkarong yang digunakan Anwar untuk menipu pengundi Permatang Pauh. Ini juga membuktikan lagi bahawa perjuangannya adalah untuk peribadinya, bukan untuk partinya, bukan untuk pengundinya dan sudah tentu bukan untuk negara Malaysia!
Jika benar pun ada RM5 bilion tersebut, kita minta Anwar mendedahkan identiti siapakah pelabur tersebut? Kita tahu bahawa ada Pak Arab Islam, ada Pak Arab bukan Islam dan ada Pak Arab Yahudi yang memang menentang Islam. Adakah pelabur Anwar tersebut merupakan Pak Arab Yahudi yang mungkin juga salah seorang “Along” Anwar?
Atau adakah sebenarnya Anwar yang memerlukan RM5 bilion tersebut untuk dibayar kepada “Along”nya selama ini? Jika tidak, kenapakah Anwar terlalu terdesak dan tergesa-gesa sangat untuk menjadi “Perdana Menteri segera”?
Muktamar Pas di Ipoh baru-baru ini telah membayangkan dan memberi amaran bahaya yang akan dihadapi oleh Pas sekiranya terus memberikan sokongan kepada Anwar. Mungkin masih belum ada perwakilan Pas yang “berani” untuk mendedahkan apakah sebenarnya tujuan Anwar “berbaik-baik” dengan Pas setelah lebih 16 tahun menghalang pergerakan Pas? Pas patut bersyukur kerana terdapat akar umbi Pas yang telah berjaya menyampaikan ingatan dan amaran kepada pucuk pimpinan tertinggi Pas. Ingatlah bahawa walaupun Tun Dr. Mahathir pun pernah tertipu dengan kelicikan putarbelit Anwar tetapi Tun telah berjaya menyekat Anwar daripada menjadi Presiden Malaysia!
Pas telah pun menegaskan bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia sudah tentu bukan Anwar yang menjadi Perdana Menterinya! Hj. Hadi Awang adalah pilihan Pas. Amatlah diharapkan kepada para pengundi di Permatang Pauh supaya dapat menangkap maksud tersirat yang hendak disampaikan oleh Pas ini.
Tindakan berhati-hati Dewan Ulama Pas dapat dilihat daripada kenyataan tegas Timbalan Mursyidul Am Dato’ Dr. Haron Din, yang juga merupakan pengasas Persatuan dan Klinik Pengubatan Islam Darussyifa. Ramai yang mempercayai dan menerima bahawa Haron Din adalah pakar yang berkebolehan dalam “hal-hal yang tidak nampak” bukan setakat jin, iblis dan syaitan sahaja. Siapakah orang Permatang Pauh yang tidak kenal Haron Din? Oleh itu saranan daripada Haron Din tersebut tidak boleh dipandang ringan terutamanya oleh Anwar sendiri . Anwar sebenarnya “berhutang” kerana Haron Din telah banyak “menyelamatkannya” pada kes liwat terdahulu apabila Haron Din mengesahkan bahawa “Ana percaya cakap anta”. Namun ramai yang telah “disilapmatakan” oleh Anwar dan penyokongnya kononnya Haron Din “mengesahkan Anwar tidak meliwat”. Tindakan Haron Din itu adalah benar kerana walaupun Anwar menipunya, beliau tetap “menerima” apa yang diucapkan oleh Anwar secara terbuka demi maslahat awam kerana ketika itu ramai yang hadir menyaksikannya, tetapi dalam hatinya sudah tentu Haron Din tahu samada Anwar berbohong kepadanya atau tidak.
Kenyataan Haron Din “yang berkias” di muktamar Pas itu membayangkan bahawa Pas seolah-olah dalam delima “ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Haron Din mengatakan bahawa “…sepatutnya yang bersumpah adalah pihak yang kena tuduh,…”. Walaupun beliau tidak menyebut nama Anwar tetapi secara berkiasnya difahami bahawa Anwarlah yang sepatutnya bersumpah, bukannya Saiful! Mungkin agaknya para ulamak Pas masih boleh bertahan dengan taktik berdolak-dalik Anwar itu dan sedang mencari jalan lembut untuk “bercerai dengan Anwar” seperti menarik rambut dalam tepung.
Namun yang jelasnya Anwar telah berjaya mengeksploitasi sepenuhnya pengakuan dan laporan polis yang dibuat oleh seorang anak muda bernama Saiful yang mendakwa telah diliwat oleh Anwar. Artikel ini tidak menyentuh dan bukan tujuan penulis untuk membincang kes yang sedang dibicarakan di mahkamah tersebut tetapi pengakuan Saiful tersebut sedang digunakan sepenuhnya oleh Anwar untuk menyelamatkan dirinya daripada “Along”nya. Anwar telah memusingkan bahawa tuduhan beliau meliwat Saiful adalah satu lagi konspirasi kerajaan BN untuk menyekat kerjaya politiknya. Malah ketika artikel ini ditulis, tuduhan Anwar ini masih disiarkan di muka hadapan laman web blog.algore.com yang diposkan pada 1 ogos 2008. Siapakah yang tidak tahu hubungan antara Anwar dengan “Algore” Amerika ini? Pihak kerajaan BN sepatutnya boleh menyaman Amerika Syarikat kerana menuduh “Twice, now, the government has used the same tactic....” adalah merupakan satu fitnah walaupun telah dijelaskan oleh Kementerian Luar Negeri. Mungkin sokongan dan fitnah terbuka Amerika ini telah membuka sedikit mata Pas kerana nampak dah menyokong Anwar samalah juga seperti “anjing makan tahi”.
Anwar juga telah menggambarkan kononnya kerajaan BN telah tahu terlebih dahulu bahawa beliau akan bertanding dan pengakuan Saiful itu adalah sebagai langkah untuk menghalangnya daripada bertanding. Oleh itu, bagi menampakkan logik ada benarnya dakwaan tersebut maka Anwar tidak ada pilihan melainkan mendesak Wan Azizah meletakkan jawatan bagi membolehkannya bertanding. Tindakan Anwar ini sebenarnya telah memakan dirinya lagi kerana ramai penyokongnya yang kini “barulah nampak” bahawa perjuangan Anwar sebenarnya adalah perjuangan peribadinya dan bukan parti. PKR adalah parti Anwar, bukan parti kepentingan berbilang kaum sebagaimana yang dihebohkan!
Sudah tentulah kesedihan Wan Azizah akan bertambah lagi apabila tanpa disangka Saiful telah mempertaruhkan dan menggadaikan maruah diri dan keluarganya dengan membuat sumpah pengakuan. Walaupun ramai yang mempertikaikan sumpahnya itu, tetapi caranya dan kaedahnya sahaja yang dipertikaikan namun pada asasnya beliau telah bersumpah. Sebarang kecacatan pada acara sumpahnya itu mungkin kerana pihak yang “lebih tahu mengkritik” berkenaan terlalu sombong dan tidak mahu menunjukajar Saiful walaupun Saiful telah lama menyatakan hasrat dan cabarannya itu.
Apakah kesan sumpah Saiful tersebut kepada Wan Azizah? Ramai yang tahu bahawa Wan Azizah tahu sambal kegemaran Anwar sebagaimana dalam pembayang pantunnya “Sedap-sedap sambal kerang, sedap lagi sambal terong,...(sengaja tidak dihabiskan)” tetapi si isteri tersayang mungkin tidak menyangka ingatkan suaminya betullah sudah tidak lagi makan sambal terong. Sudah tentu terkejut badak bukan kepalang (seperti kata budak-budak zaman sekarang) apabila seorang muda kacak lawa membuat laporan polis dan pengakuan bahawa “dia adalah sambal terong suaminya”!
Sekiranya Wan Azizah benar-benar mengikut ajaran Islam sudah tentulah dia tidak akan bersekongkol dengan sebarang kemungkaran yang dilakukan oleh suaminya. Islam telah menggariskan had ketaatan dan perkara-perkara yang boleh dicampuri oleh isteri terhadap suami. Sebab itulah ramai yang mengharapkan Wan Azizah mengundi calon Barisan Nasional nanti bukan sahaja bagi “menyekat, mengekang dan mendidik” suaminya tetapi adalah sebagai menurut tuntutan agama yang dianutinya. Sudah tentu Wan Azizah “faham” kenapakah mengundi Anwar tidak mengikut tuntutan Islam dan penulis masih bersabar untuk tidak mendedahkannya dalam artikel ini (mungkin dalam artikel berikutnya?).
Wan Azizah sendiri turut membuat kenyataan media memberikan alasan bahawa suaminya tidak perlu untuk menyahut cabaran Saiful untuk bersumpah laknat secara berdepan. Kononnya, ada ulama yang menasihatkan supaya tidak melakukan sumpah tersebut. Namun, setelah Haron Din sendiri menyarankan bahawa Anwar yang sepatutnya bersumpah, sudah tentulah Wan Azizah semakin keliru, tertekan dan serba salah.
Sumpah Saiful tersebut bukanlah yang pertama sebagaimana yang dilaporkan media. Dikalangan orang-orang kampung dan orang kebanyakan sumpah adalah “penyelesai, pemutus dan penutup” kes dan pertikaian yang tidak dapat diselesaikan menggunakan bukti fizikal. Menurut ajaran Islam, bersumpah adalah merupakan satu kaedah untuk mempertahankan diri daripada tuduhan fitnah. Orang Islam tahu bahawa dosa memfitnah itu adalah lebih besar daripada dosa membunuh orang dan ini sahaja sudah cukup mudah untuk menggambarkan betapa bahayanya jenayah fitnah ini. Oleh itu orang Melayu percaya dan yakin bahawa bersumpah bagi menentang fitnah “akan mendapat jawapan segera” atau “dibayar tunai”. Mungkinkah ini yang ditakuti oleh Anwar?
Sukacita penulis ingin menceritakan mengenai suatu kes bersumpah supaya selain Anwar, pembaca dan terutamanya orang-orang Permatang Pauh dapat menimba panduan dan pengajaran daripadanya. Terdapat seorang responden (dirahsiakan namanya) yang telah difitnah dengan amat teruk. Beliau bukan sahaja difitnah telah melakukan zina, menculik dan merogol beberapa orang pelajar , menghasut, menipu dan mengajar ajaran sesat, mengamalkan ajaran agama Hindu, menggunakan jin, iblis dan syaitan sebagai khadamnya dan sebagainya. Fitnah yang dibuat oleh orang-orang yang bertopengkan agama Islam, oleh ustaz dan ustazah universiti yang cakapnya “menjadi fatwa”, termasuklah juga oleh imam masjid, cerdik pandai termasuk oleh pensyarah dan profesor malah termasuk juga oleh Dato dan Tan Sri. Imam memfitnah beliau selepas sembahyang jemaah di masjid. Penduduk setempat menerima fitnah menerusi ceramah agama. Juga menerusi surat layang, internet dan sebagainya hinggakan kepada siaran langsung di sebuah saluran TV perdana.
Cubalah bayangkan, bagaimanakah reponden tersebut hendak menangkis fitnah tersebut dan membela dirinya? Malah isterinya sendiri mengatakan bahawa “abang bukan ustaz, yang bercakap berceramah itu adalah ustaz, imam dan yang hafaz Quran. Siapa yang hendak dengar apa yang abang cakap?” Akibatnya beliau dan keluarganya disisih, dipinggir dan dipulau oleh semua masyarakat. Malah Naib Canselor universit tersebut pernah mengeluarkan arahan supaya tidak menziarahi rumah responden pada hariraya. Sesiapa yang ingkar akan diambil tindakan tatatertib.
Responden tersebut tetap bersabar dan jika ditanya beliau menjawab “dia ikut macam Dr. Mahathir, biarlah tuhan sahaja yang balas dan saman mereka”. Namun beliau mengubah pendirian apabila ada sekumpulan pelajar perempuan universiti tersebut bangkit membelanya. Malah ada yang cuba ditampar oleh Pengarah Pusat Pengajian Islam (yang juga Pengarah Masjid) ketika itu kerana pelajar tersebut hanya bertanya “Jika benar dia mengajar ajaran sesat, kenapakah ustaz TIDAK BERANI melaporkannya ke pejabat agama?”.
Apa yang dilakukannya ialah pergi ke rumah salah seorang orang awam “penyampai” fitnah yang juga merupakan isteri kepada imam di kampong tersebut. Beliau pergi dengan membawa dua barang, iaitu sebilah parang dan senaskah Al-Quran. Beliau berjumpa dengan perempuan tersebut dan setelah perempuan tersebut berkeras tidak mahu menerima kesilapannya beliau menghulurkan parangnya kepada perempuan tersebut dan berkata “Jika begitu besar kesalahan dan dosa yang telah saya lakukan maka ambillah parang ini dan bunuhlah saya”. Setelah perempuan itu menolak, beliau berkata beliau terpaksa bersumpah untuk membela dirinya.
Beliau meletakkan tangannya di atas naskah Quran yang dibawanya dan meneruskan juga bersumpah walaupun perempupan tersebut tidak mahu bersumpah dan cuba lari (tetapi dihalang oleh orang ramai yang hadir). Antara yang dilafaznya kedengaran seperti “Bismillahhi, Wabillahhi, Watallahhi”. Kemudian beliau juga ada menyebutkan bahawa “lidah yang Allah swt jadikan tidak sepatutnya duduk di mulut makcik kerana makcik telah gunakannya untuk memfitnah. Otak yang dianugerahkan oleh Allah swt untuk makcik berfikir supaya tahu membezakan mana benar dan mana fitnah tidak makcik gunakan dan samalah seperti makcik letak otak makcik itu di kepala lutut makcik”.
Tidak ada apa yang berlaku untuk beberapa hari tetapi pada suatu malam kira-kira jam 2.00 pagi seluruh kampong dikejutkan dengan satu insiden kemalangan jalanraya dimana seorang pemuda penunggang motorsikal telah meninggal kemalangan. Gempar sekampong kerana suami perempuan tersebut yang juga imam kampong tersebut pengsan apabila melihat mayat pemuda tersebut. Ramai yang hairan kerana imam tersebut sudah biasa melihat dan menguruskan jenayah berbagai orang yang mati. Rupa-rupanya yang meninggal dunia itu adalah anaknya! Namun kejutan itu dipercayai bukan yang menyebabkan imam tersebut pengsan.
Pada malam itu juga sekumpulan orang kampong telah pergi ke rumah responden dan meminta maaf. Responden diberitahu bahawa kebenarannya telah ditunjukkan Allah swt. Anak perempuan penyampai fitnah tersebut telah meninggal dunia kemalangan motorsikal dengan lidah terputus dan terjatuh ke atas jalanraya. Kepalanya pecah dan otaknya betul-betul berada di atas lututnya. Subhanallah! Perempuan tersebut akhirnya menjadi hilang akal. Selepas kejadian itu barulah responden tersebut dan keluarganya diterima semula oleh masyarakat setempatnya. Apa yang berlaku kepada pemfitnah lain tidak perlulah dinyatakan disini. Itu baru penyebar fitnah dan belum lagi pembuat atau pencipta fitnahnya!
Pengajaran daripada kes di atas adalah selaras dengan saranan Haron Din bahawa Anwar mesti bersumpah untuk membersihkan dirinya. Bukan hanya setakat berceramah ke seluruh dunia mengatakan dia difitnah dan menjadi mangsa konspirasi. Ini kerana Anwar secara berterusan berceramah dan memberitahu seluruh dunia bahawa beliau difitnah dan menjadi mangsa konspirasi. Anwar boleh menamakan terus orang-orang yang memfitnahnya supaya ditunjukkan kebenarannya. Ingatlah bahawa Allah swt telah menjanjikan bahawa apabila datang kebenaran yang batil tetap akan hilang.
Persoalannya sehingga artikel ini ditulis ialah Anwar masih belum bersumpah. Anwar perlu bersumpah bukan disebabkan oleh pengakuan Saiful semata-mata tetapi atas semua fitnah yang sebagaimana yang dikatakannya. Anwar juga perlu bersumpah untuk menafikan beberapa orang lagi yang mengaku dicabul olehnya. “Sumpah Permatang Pauh” ini juga akan membantu menyakinkan orang ramai mengenai apa yang diucapkan, disampaikan dan dijanjikan oleh Anwar.
Adakah Anwar “berani” bersumpah? Jika ya, maka boleh diterima bahawa Anwar difitnah. Jika tidak, maka sudah tentulah tidak boleh diterima kenyataan bahawa Anwar difitnah. Maknanya, jika Anwar tidak berani bersumpah, ini akan memberikan implikasi bahawa bukan sahaja Anwar tidak difitnah, tetapi sebaliknya Anwarlah yang membuat fitnah!
Jika Anwar bersumpah, maka terlepas suatu tanggungan terhadap para penyokong dan pengundi Anwar di Permatang Pauh (dan dimana-mana sahaja). Jika tidak maka orang yang menyokong dan mengundi Anwar sudah tentulah menyokong dan bersubahat dengan pemfitnah. Mereka juga akan menanggung “dosa yang lebih besar daripada membunuh orang”. Ini merupakan pesanan yang jelas kepada penyokong Pas (dan semua yang beragama Islam) di Permatang Pauh supaya tidak memberi undi kepada Anwar tetapi WAJIB memberi undi kepada calon Barisan Nasional bagi menghalang fitnah daripada terus tersebar. Ingatlah! Allah swt telah memerintahkan bahawa “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah:193).
Tidak mengundi Anwar adalah satu cara untuk memerangi fitnah yang berkaitan dengan Anwar ini kerana jelas Anwar telah gagal memerangi fitnah berkenaan. Semasa ketiadaan Anwar (dalam tahanan), negara aman damai dan tidak timbul fitnah sedemikian tetapi selepas Anwar dibebaskan berbagai fitnah dan kebimbangan telah timbul. Telah jelas perbezaan keadaan antara “ada Anwar “ dengan “tak ada Anwar”.
Wan Azizah tahu apa yang Anwar tahu. Sebab itulah juga beliau mesti mengundi untuk memilih calon Barisan Nasional. Tindakan berkecuali dan tidak mengundi tetap bermakna menyetujui dan mengiyakan apa yang dilakukan Anwar. Kepada semua pengundi Islam di Permatang Pauh, Anwar menang atau kalah tidak mengubah kerajaan BN yang sedang memerintah tetapi dengan mengundi Anwar, adakah anda sanggup mempertaruh dan menggadai akidah, iman dan agama anda dengan menentang perintah Allah swt tersebut?
Ingatlah juga bahawa untuk menjadi murtad tidak perlu untuk menolak seluruh kandungan Al-Quran, Hanya CUKUP DENGAN MENOLAK SATU AYAT QURAN. Sehingga kini, Anwar tak berani dan masih belum bersumpah sedangkan “berani kerana benar, takut kerana salah”. Kalau Anwar bersumpah pun selepas ini, maka itu sudah menjadi tidak relevan lagi sebab sumpah ketika itu bukan lagi sumpah untuk buktikan kebenaran secara Islam, tetapi hanyalah sebagai lakonan mengkarong untuk mempermainkan sumpah (palsu, untuk tujuan lain) sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran Karim.